1. Salam sejahtera saya ucapkan kepada Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris, Tamil dan Melayu SPH Media, Encik Wong Wei Kong Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, pengadil, pengetua, guru dan pelajar sekalian. Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama anda di majlis ini.
2. Hadirin sekalian, mempelajari Bahasa Ibunda membolehkan kita memahami dan menghargai warisan budaya dan nilai masyarakat kita dengan lebih mendalam. Pada masa yang sama, keupayaan kita berbahasa ibunda membolehkan kita berkomunikasi dengan berkesan dengan mereka yang menggunakan bahasa yang sama, tidak kira di Singapura atau mana-mana bahagian dunia. Ini kita lakukan sama ada bersemuka mahupun melalui internet.
3. Justeru, saya amat teruja apabila mendapat tahu bahawa akhbar pelajar Berita Harian, Gen G, telah menganjurkan pertandingan ini bagi pelajar sekolah rendah dan menengah untuk menggunakan dan belajar Bahasa Melayu dengan cara yang menyeronokkan dan menarik melalui penghasilan video Tik Tok. Ini adalah kerana kami sedar akan kekerapan pelajar-pelajar sekarang menggunakan peranti komputer, telefon bijak dan media sosial dalam aktiviti harian mereka. Kami percaya bahawa era digital yang semakin pesat memerlukan pendekatan yang kreatif dan relevan untuk menggalakkan penggunaan bahasa ibunda kita. Seperti pepatah Melayu, "sekali air bah, sekali pantai berubah'. Kita perlu sedia menyesuaikan diri dengan perubahan dan menghasilkan kesudahan (outcome) yang lebih baik menerusi kaedah-kaedah baru ini.
4. Saya dimaklumi bahawa pertandingan ini telah menarik sambutan yang amat menggalakkan. Sebanyak 104 kumpulan dari sekolah rendah dan menengah menyertai pertandingan ini. Ia menunjukkan keselesaan anak didik sekolah kita dalam era teknologi yang serba canggih hari ini.
5. Syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana menyediakan para pelajar dengan satu wadah untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu di luar bilik darjah dan menerusi media yang mereka gemari. Selain itu, pertandingan ini juga mengembalikan nostalgia pada karya-karya seni seniman agung P. Ramlee yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
Filem-filem ikonik seperti filem P. Ramlee bukan sahaja menghiburkan malah membawa banyak pengajaran bagi masyarakat tidak kira usia. Lagu-lagu serta senikata karya P. Ramlee juga menonjolkan keindahan bahasa Melayu.
6. Pertandingan yang dianjurkan Gen G BH ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu dapat digunakan dalam bentuk yang kreatif dan baharu bagi menarik minat pelajar.
7. Selain itu, dengan mengenalkan karya-karya klasik seperti filem-filem P Ramlee kepada pelajar, kami berharap agar mereka dapat menghayati keindahan bahasa Melayu serta nilai-nilai yang terkandung di dalamnya. Filem-filem beliau tidak hanya mempunyai jalan cerita yang menarik, tetapi juga mengandungi dialog-dialog yang kaya dengan kebahasaan yang indah. Ini dapat membantu meningkatkan kefasihan berbahasa Melayu serta memperkukuhkan pemahaman terhadap nilai-nilai budaya kita.
8. Pelajar sekalian, teruskanlah belajar bahasa ibunda ke tahap yang setinggi mungkin. Guru Bahasa Ibunda kita kekal gigih dalam usaha mereka untuk menanam minat dan penghargaan para pelajar terhadap bahasa ibunda. Meskipun hal ini bukanlah perkara yang mudah, mereka tidak patah semangat bahkan terus komited untuk memastikan generasi masa depan masih kekal mencintai akan bahasa ibunda.
9. Saya berterima kasih atas sokongan rakan kongsi seperti Gen G BH, yang menganjurkan bengkel podcast dan video tahun lalu untuk melengkapi guru-guru kita dengan kemahiran baharu dan cara kreatif untuk menjadikan pelajaran bahasa Melayu lebih menarik untuk pelajar kita.
10. Saya amat berbangga dengan kejayaan anda untuk sampai ke peringkat ini dalam pertandingan menghasilkan video ini. Walau apapun keputusan pertandingan ini, anda semua merupakan pemenang atas usaha dan kebolehan anda sendiri. Syabas kepada semua!
11. Saya berharap akan dianjurkan lebih banyak lagi kegiatan seperti ini dan mengenalkan lebih ramai lagi ikon-ikon bahasa, sastera dan budaya masyarakat Melayu. Dengan peluang sedemikian, para pelajar kita akan mengenali ikon masyarakat yang telah mencorak perkembangan bahasa dan budaya kita.
12. Sebagai penutup, saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada semua pelajar yang mengambil bahagian. Kepada ibu bapa dan guru-guru, saya berharap agar kita dapat terus menyokong pembelajaran bahasa ibunda untuk anak-anak kita. Mari kita sama-sama menghargai keindahan bahasa Melayu sambil mengekalkan warisan seni dan budaya kita yang berharga.
13. Sebelum itu, izinkan saya akhiri dengan serangkap pantun:
Hendak dimasak lauk kari,
Cari kelapa tepi perigi,
Bahasa kita harus dilestari,
Kalau bukan kita, siapa lagi?
14. Sekian, terima kasih.