1. Assalammualaikum wr wb. dan selamat sejahtera kepada hadirin sekalian.
2. Saya gembira dapat bersama para hadirin pada petang ini di majlis pelancaran Pesta Buku Melayu Singapura yang ke-6.
3. Hadirin sekalian, kita tahu bahawa membaca merupakan jendela dunia dan buku menjadi wahananya (wa-ha-na-nya). Tidak kira sama ada bahan bercetak atau digital, membaca membolehkan kita mengikuti perkembangan dunia, mempertajam fikiran, memperluas perspektif, dan pada yang sama mengukuhkan bahasa, budaya dan sastera kita.
4. Tema Pesta Buku Melayu Singapura tahun ini, "Mengenang Yang Lama, Mendukung Yang Baharu", membawa pesanan yang sangat mendalam. Dalam usaha kita untuk meningkatkan diri dan mutu kehidupan kita, kita tidak seharusnya melupakan asal usul kita. Oleh itu, kita perlu memastikan agar jasa para perintis sastera kita terus dikenang dan dijadikan bahan rujukan dan menjadi penyuluh perjalanan masa depan. Untuk acara kali ini, sumbangan pendeta kita, Almarhum Cikgu Muhammad Ariff Ahmad atau lebih dikenali dengan nama pena beliau, MAS, dikenang dalam pameran yang diusahakan oleh Pustaka Nasional.
5. Justeru, Pesta Buku Melayu Singapura ini merupakan salah satu acara penting dalam usaha kita untuk terus mengekalkan bahasa dan budaya Melayu kita. Usaha ini selaras dengan kurikulum Bahasa Melayu sekolah-sekolah nasional dari peringkat prasekolah sehingga prauniversiti yang juga menekankan pentingnya kegiatan membaca buku-buku Melayu. Pada masa yang sama, ini dikukuhkan lagi dengan sokongan kegiatan-kegiatan penerbitan dan membaca Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu and Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.
6. Kehadiran lebih banyak penerbit, termasuk penerbit luar negara yang ikut serta dalam Pesta Buku Melayu Singapura, menunjukkan adanya sambutan yang baik masyarakat kita. Dengan gemblengan tenaga pelbagai pihak ini, usaha bersama kita untuk mengembangkan lagi budaya membaca dalam masyarakat kita akan menjadi lebih kukuh. Hal ini akan memperdalam lagi kefahaman dan meningkatkan penghargaan kita terhadap warisan bahasa, budaya tradisi dan jati diri kita. Dengan kata lain, kita berada di landasan yang betul, selaras dengan dasar Pendidikan Dwibahasa yang menekankan pentingnya pembelajaran Bahasa Ibunda kita.
7. Saya juga gembira apabila dimaklumi bahawa Creative Technologies baru melancarkan aplikasi e-membaca "Wawa Yaya Joy Reader". Saya berharap usaha ini akan menggalakkan lebih ramai anak-anak kita menyemai tabiat membaca dalam diri mereka seawal usia yang mungkin. Saya berharap ibu bapa akan memainkan peranan mereka sebagai pemangkin dan menyediakan suasana rumah yang sesuai untuk tabiat membaca di kalangan anak kecil mereka dapat disemai.
8. Selain pelibatan dan sokongan para penerbit, Pesta Buku Melayu Singapura telah mendapatkan sokongan tenaga belia dalam perancangan dan pelaksanaan acara ini. Penyertaan golongan belia dan gabungan tenaga mereka dengan golongan yang lebih mapan memberikan isyarat bahawa usaha Pesta Buku Melayu Singapura akan berterusan pada jangka masa yang panjang. Kesinambungan ini memberikan kita keyakinan bahawa generasi akan datang akan terus memartabatkan bahasa dan budaya Melayu negara kita.
9. Hadirin sekalian, masa depan bahasa dan budaya Melayu tidak seharusnya hanya dipertanggungjawabkan kepada para guru bahasa Melayu kita sahaja. Mereka pasti akan menjalankan tanggungjawab mereka melaksanakan kurikulum Bahasa Melayu dengan sebaik mungkin. Pemupukan rasa cinta akan bahasa dan budaya kepada anak-anak kita adalah tanggungjawab kita semua – ibu bapa, sekolah dan masyarakat. Penganjuran Pesta Buku Melayu Singapura ini merupakan bukti bahawa masyarakat kita juga berusaha menjalankan tanggungjawab kita sebaik mungkin.
10. Akhir sekali syabas saya ucapkan kepada penganjur, Persatuan Kemuning kerana bersedia untuk menggalas tugasan ini. Semoga kita semua mendapat manfaat daripada usaha murni ini.
11. Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:
Dahulu ke Geylang berkereta kuda,
Sekarang bas, kereta api pun ada;
Kalau mahu masa depan terjaga,
Jadikanlah membaca budaya kita.
12. Sekian. Terima kasih.