Pengenalan
1. Selamat sejahtera saya ucapkan kepada ahli Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), pegawai Kementerian Pendidikan Singapura, dan para tetamu undangan yang dihormati.
2. Terima kasih kepada semua kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri majlis pelancaran pada pagi ini. Saya ingin mengalu-alukan kehadiran tetamu khas kita En Julian Wong, penerbit dan pengarah Musikal “Don’t call him Mr Mari Kita” yang berasaskan kisah kehidupan Pak Zubir Said. Projek tahun lalu dan yang akan kita lancarkan hari ini berputik dari persembahan En Wong yang saya hadiri dua tahun lalu.
3. Kehadiran semua amat dihargai kerana ini meyakinkan saya dan para seketariat MLLPC bahawa usaha untuk memartabatkan dan menghidupkan kembali karya-karya Pak Zubir ini mendapat sambutan dan sokongan hadirin sekalian.
Sentuhan Magis Zubir Said
4. Kita semua maklum akan sumbangan besar Almarhum Pak Zubir Said kepada negara kita. Bukan sahaja beliau telah menggubah lagu kebangsaan kita, bahkan beliau telah meninggalkan banyak khazanah muzik malar segar. Ini juga yang telah ditonjolkan dalam Musikal "Don't call him Mr Mari Kita". Anugerah seni yang mengalir dalam diri Pak Zubir sememangnya tiada ternilai. Dengan sentuhan kreativiti dan magis beliau, kita dapat menikmati karya-karya beliau hingga hari ini.
5. Hadirin sekalian, lagu-lagu Pak Zubir mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Beliau menganyam nilai-nilai murni yang boleh dijadikan teladan bagi warga Singapura agar sama-sama bertanggungjawab membina negara.
6. Melalui usaha ini juga, kami dapat menggarap sikap beliau yang cinta pada alam semula jadi. Ini jelas tergambar melalui hasil karya beliau yang banyak menggunakan alam semula jadi sebagai sumber inspirasi. Antara lagunya yang menunjukkan keindahan alam semesta ialah Lagu "Anggerik Singapura". Dengan keyakinan beliau bahawa bunga anggerik akan terkenal di dunia, beliau telah menghasilkan lagu tersebut pada tahun 1950an.
'Bunga anggerik Singapura
Sungguh masyhur di dunia
Warna indah beraneka
Jadi kenangan berbuatnya'
7. Usaha beliau mengangkat bunga anggerik dalam lagunya amat bertepatan sekali apabila bunga anggerik jenis Vanda Miss Joaquim diangkat menjadi bunga kebangsaan negara kita pada tahun 1981. Hebat sungguh, Pak Zubir kita! Malah, lagu ini telah dinyanyikan semasa sambutan Hari Kebangsaan pada bulan Ogos lalu.
Orang Singapura - Bersatu', Usaha Lanjutan MLLPC
8. Hadirin sekalian, pada tahun tahun lalu MLLPC telah menerbitkan kompilasi lagu-lagu Pak Zubir Said dalam projek "Orang Singapura". Banyak sekali manfaat yang telah diraih daripada penerbitan tersebut. Selain melestarikan karya-karya beliau kepada generasi kini dan masa depan, lagu-lagu tersebut telah digunakan di sekolah dan majlis-majlis bahasa dan budaya Melayu di negara ini.
9. Bertitik tolak daripada kejayaan tersebut, kami berasa terpanggil untuk meneruskan usaha menghidupkan kembali lagu-lagu Pak Zubir. Justeru, projek "Orang Singapura – Bersatu" ini merupakan usaha lanjutan kami untuk memalarsegarkan sepuluh buah lagi lagu beliau.
10. Pilihan lagu-lagu kali ini lebih luas dan dapat dinikmati oleh pendengar dari setiap lapisan usia. Antara lagu-lagunya ialah "Bersatu", "Bunga Telur Nasi Minyak", "Sayang di Sayang" dan "Setangkai Kembang Melati". Sekretariat MLLPC turun padang untuk mendekati orang ramai dengan lagu-lagu Pak Zubir. Mereka menjawab soalan-soalan yang diajukan secara spontan dan berkongsi pandangan tentang lagu-lagu yang telah disusun semula ini.
11. Kami berharap usaha ini dapat mempopularkan kembali hasil karya Pak Zubir, terutama sekali kepada generasi muda kita. Dan kita tidak akan lupa akan sumbangan besar Pak Zubir kepada warisan seni negara kita.
Penutup
12. Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memastikan kejayaan projek "Orang Singapura – Bersatu" ini. Semoga generasi muda Singapura dapat meraih manfaat daripadanya dan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan harian mereka.
13. Sekian, terima kasih.